Monday, February 23, 2009

Ketegasan Erdogan Di Tengah Kelesuan Pemimpin Arab

Ketegasan Erdogan

Di Tengah Kelesuan Pemimpin Arab

Oleh Mohamad Saidy Ismail

Berbeza dengan pemimpin negara Arab, pemimpin negara Turki dan Iran adalah lebih berani menyatakan pendirian tanpa berdolak dalik demi keadilan untuk rakyat Palestin.

Tahniah kepada Tuan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang meninggalkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland pada 30 Januari lalu. Ada masanya pemimpin umat Islam mesti berani dan tegas ketika penduduk Gaza diserang melampaui batas.

Memang wajar Erdorgan bangun meninggalkan forum tersebut setelah dihalang meneruskan ucapan mengutuk pencerobohan Israel sedangkan Presiden Israel, Shimon Peres sebelum itu diberikan masa yang cukup memberi kewajaran tenteranya menyerang Gaza.

Seperti yang dilaporkan media, golongan elit politik dan tokoh perniagaan Barat memberi tepukan menyokong ucapan Presiden Israel dalam forum itu. Amat prejudis sikap mereka sama seperti pengerusi sesi yang berat sebelah, David Ignatius, wartawan Washington Post itu.

Biar apapun, umat Islam patut berbangga dengan Erdorgan. Nampaknya pemimpin Islam kalangan bukan Arab jauh lebih tegas membela nasib Palestin berbanding pemimpin negara Arab yang mudah tunduk kepada kemahuan Barat. Arab Saudi sendiri tidak dapat menentukan pendiriannya yang tegas ketika Israel mula melakukan serangan biadap mereka ke atas Gaza pada akhir Disember lalu.

Di kalangan orang Islam sering disoalkan, mengapakah bangsa Arab yang ratusan juta itu tidak dapat mengalahkan regim Zionis Israel yang lebih kecil? Realitinya, ini bukanlah situasi di mana regim Israel berada di satu pihak dan dan negara-negara Arab di pihak yang lain.

Hakikatnya, Israel menjadi kuat kerana bersamanya terdapat beberapa negara Arab yang secara terbuka dan tersembunyi memberi bantuan. Sesungguhnya, Israel sukar bertindak seperti sekarang tanpa sokongan negara-negara Arab ini, selain Amerika Syarikat.

Seperti yang disebut oleh penulis seperti Dr Abbas Bakhtiar, kerajaan Mesir dan Jordan mempunyai kolaborasi dengan Israel secara terbuka sambil kerajaan Arab Saudi, UAE dan Kuwait pula menyokong Israel secara senyap.

Sesungguhnya, selepas 30 tahun berkolaborasi dengan Israel, pemimpin negara Arab seperti Mesir, Jordan dan Saudi Arabia tidak akan bersuara dan bertindak tegas kerana mereka mempunyai terlalu banyak kepentingan; yang dijaga oleh Amerika Syarikat dan Britain. Amerika Syarikat pula adalah pihak yang akan menambahkan senjata regim Israel setiap kali senjata mereka musnah ketika memerangi Palestin.

Sebab kepada kolaborasi dengan Israel mungkin banyak tetapi satu yang sama ialah kesemua pemimpin negara Arab ini adalah pemimpin yang tidak demokratik dan tidak popular di kalangan rakyat. Mereka memerlukan pelindungan barat dari tekanan rakyat sendiri demi menjaga kedudukan dan tapak kuasa.

Kemenangan popular Hamas dalam pilihanraya amat menakutkan pemimpin negara Arab kerana ia boleh menyuntik idea kebangkitan massa melalui sokongan ummah yang popular. Selain itu, Hamas membawa wawasan Islam, tidak tunduk pada Barat dan tidak korup seperti Fatah.

Di sinilah terletak sebab sebenar mengapa pergerakan Hamas perlu dibinasakan. Sebab itu, sebaik sahaja Hamas memenangi pilihanraya, Amerika dan negara Eropah meletakkan sekatan ekonomi dan memanggil Hamas penganas. Israel menutup sempadan dan menyekat kemasukan bantuan.

Perkara yang tidak disebut oleh media ialah semua tindakan ini dilakukan dengan pengetahuan dan restu kerajaan Saudi, Mesir dan Jordan. Malahan, Mesir turut menyekat kemasukan bantuan.

Mengapa negara jiran seperti Mesir tidak membuka sempadan Rafah untuk menyelamatkan rakyat Gaza ketika diserang Israel?

Bacalah laporan dari Aljazeera.net, Pasukan Palang Merah Antarabangsa dll. betapa misi bantuan dan ribuan sukarelewan dari negara luar diberikan halangan oleh Mesir daripada memasuki Gaza melalui Rafah. Sukarelewan Mesir di sempadan dihantar pulang. Kapalterbang kargo Iran dengan ubat dan makanan telah disekat di Mesir daripada memunggah bekalan ke Gaza.

Tentang bantuan 1 billion USD kepada Gaza dari Kerajaan Arab Saudi, seperti kata Presiden bagi Palestine Centre of Excellence (PACE), Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Nor, bantuan tersebut adalah cubaan untuk menutup kelemahan Arab Saudi. Bantuan tersebut tidak mungkin dapat membeli rasa hormat rakyat Gaza dan umat Islam kepada mereka yang tidak dapat menentukan pendirian yang tegas tatkala Israel menyerang Gaza.

Oleh kerana “ad-din itu adalah nasihat” seperti maksud hadith sahih Imam Bukhari, izinkan saya memberi sedikit maklum balas umum untuk pemimpin negara-negara Arab ini.

Apa yang berlaku di Palestin adalah seperti teori Newton’s Third Law of Motion. Setiap tindakan atau tekanan yang dikenakan akan diikuti oleh tindakbalas yang sama. Jika anda menceroboh dan mendera manusia, mangsa akan bertindak balas untuk mempertahankan dirinya. Begitu juga akan berlaku di mana-mana negarapun, jika aspirasi rakyatnya yang baik tidak dipedulikan atau diberi tekanan, mereka satu hari nanti akan bangkit jua.

Wednesday, June 11, 2008

Kepemimpin adalah Tugas bukan Kedudukan

Kepemimpinan bukan mengenai kedudukan dan keistimewaan tetapi tugas dan tanggungjawab yang akan disoal oleh Allah di akhirat. Oleh itu mengelakkan diri daripada tanggungjawab ini adalah sesuatu yang tidak dibenarkan seperti mana tidak dibenarkan meminta-minta untuk memimpin. Apabila kepemimpinan telah diberikan, menjadi tanggungjawab untuk melaksanakannya dengan cara yang paling baik.

Persiapan untuk Menjadi Pemimpin

Pemimpin bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya dan untuk itu bidang persiapan berikut adalah mesti:

  • Persiapan iman dan amal salih. Pemimpin Islam mestilah dibentuk melalui asas iman dan taqwa – iaitu mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan Allah; dan tidak mengabaikan tanggungjawab. Iman dan amal perlu dibaja melalui proses tarbiyah yang berterusan.

  • Persiapan Ilmu dan fikrah yang mantap. Kekuatan ilmu dan fikrah diperlukan bagi seseorang pemimpin agar ia mampu mengintegrasikan fikrah yang didukungnya kepada anak-anak buahnya dan masyarakat dengan berkesan.

  • Kemahiran Kemahiran dan Soft Skills. Pemimpin perlu memiliki kemahiran-kemahiran yang disebutkan di atas melalui latihan, pengalaman melalui penglibatan, pendedahan, pergaulan dan pembacaan.

Kemahiran Lanjutan untuk Memimpin

Berikut adalah antara bidang kemahiran lanjutan yang perlu dikuasai oleh pemimpin bagi gerakan dakwah dan islah dalam masyarakat.

  • Kemahiran Mendidik Manusia. Kemahiran untuk memahami matlamat mendidik manusia; memahami kaedah perubahan insan; kaedah dorongan dan rangsangan; konsep pengajaran dan pembelajaran.

  • Kemahiran Kemanusiaan dan Interpersonal. Keupayaaan untuk berkerja bersama-sama orang lain; pandai berhubung dan mendorong orang lain; memberi semangat dan mendamaikan orang yang berkonflik dll.Kemahiran memahami asas-asas komunikasi;

memahami hubungan antaraperorangan; dan keadah penyampaian dan tutur awam.

  • Kemahiran Pengurusan. Kemahiran menetapkan objektif, merancang, menyusun, memimpin dan mengawal manusia dan kerja; kemahiran membuat keputusan yang sistematik iaitu mencerakin masalah, pelbagaikan alternatif, menilai dan memilih alternatif; serta kemahiran menyesuaikan kaedah kepemimpinan mengikut persekitaran.

  • Kemahiran Menganalisis. Kemahiran melihat sesuatu isu dalam gambaran yang lebih besar; boleh menghubungkan satu unit dengan unit lain; dapat menilai isu / situasi bukan berasaskan suasana tetapi pandangan bersistem (system view); mampu mengenalpasti rentetan bagaimana isu tercetus; boleh mengelaskan antara isu strategik (utama) dengan isu sampingan; keupayaan melihat persamaan dan perbezaan ketika membuat perbandingan.
  • Keupayaan Memberi Alternatif. Yang merangkumi kebolehan mencipta alternatif dengan mengambil kira asas-asas (prinsip), faktor persekitaran serta pelaksanaan; memberi pandangan dan alternatif menurut objektif dan kesesuaian suasana dan wadah

Kemahiran yang Diperlukan Pemimpin

    • Kemahiran teknikal – kemahiran melakukan sesuatu secara khusus seperti mengajar, mengubat, mengurus, membaiki mesin, membuat akaun dll.

    • Kemahiraan kemanusiaan – keupayaaan untuk berkerja bersama-sama dengan insane yang lain; pandai berhubung; pandai mendorong orang lain; memberi semangat dan mendamaikan orang yang berkonflik dll.

    • Kemahiran konsepsi – kemahiran untuk berfikir perkara abstrak dan konsep yang tidak dapat disentuh seperti keupayaan melihat organisasi secara keseluruhan; memahami hubungan satu unit dengan unit yang lain; dan hubungan organisasi kita dengan persekitaran.

Tugas Utama Pemimpin


  • Mempengaruhi Ahli-ahli

Dalam melaksanakan tugas ini, pemimpin hendaklah (a) menjelaskan teras dasar dan hala tuju perjuangan organisasi; (b) membetulkan tanggapan-tanggapan yang kurang tepat kepada ahli (c) membina dan menjalinkan hubungan yang mantap berdasarkan tuntutan ukhwah (d) membuktikan kepemimpin melalui qudwa (e) memanfaatkan peluang dalam pertemuan, mesyuarat, latihan, usrah dll bagi tujuan perkongsian perjuangan.


  • Membentuk Tingkah Laku Ahli

Untuk tugas ini, pemimpin wajar menimbangkan perkara berikut; (a) memahami masalah dan kehendak ahli melalui ta`ruf dan taawun yang mendalam (b) mengutamakan program-program tarbiah dan latihan bagi membentuk sahsiah, fikrah dan amal (c) mewujudkan dan mengukuhkan saluran komunikasi (d) memberi dokongan, sokongan dan belaian mahabbah kepad ahli.

  • Bekerja Mencapai Matlamat Organisasi

Bagi maksud ini, pemimpin wajarlah (a) mewujudkan satu matlamat organisasi yang boleh dikongsikan dan diperjuangkan bersama (b) libatkan ahli-ahli dalam merancang matlamat dan objektif (c) membentuk nilai dan budaya kerja yang disepakati (d) menggembleng dan menggerakkan ahli bekerja bagi mencapai matlamat tersebut.

Peranan dan Skop Tugas Pemimpin

    • Menyelenggara dan mengekalkan organisasi supaya sentiasa dalam terbaik dan mencapai matlamat.

    • Membuat lonjakkan untuk memajukan dan memperkasakan organisasi.


Skop Tugas Pemimpin

    • Tugas strategik – seperti mewujudkan polisi menambahkan sokongan golongan hartawan atau negarawan dalam usaha untuk mendapatkan sumbangan dana atau pengaruh.
    • Tugas taktikal – seperti membuat kunjungan hormat secara tahunan kepada hartawan atau negarawan terpilih.
    • Tugas operasional – seperti menyiapkan dokumen, bahan dan semua keperluan untuk pembentangan kepada golongan dermawan atau negarawan tersebut.